KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan MyDigital ID sebagai satu bentuk pengesahan identiti digital tunggal yang sahih, selamat dan dipercayai di bawah inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam melalui platform Government Technology (GovTech).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah ini bertujuan memudahkan rakyat mengakses pelbagai kemudahan awam secara dalam talian dengan lebih cekap dan pantas.
“Di bawah usaha pendigitalan perkhidmatan awam melalui GovTech, MyDigital ID akan diperkenalkan sebagai kunci pengesahan identiti digital tunggal yang selamat dan sahih, bagi memudahkan akses kepada pelbagai kemudahan awam dalam talian.
“(Dalam masa yang sama), gerbang tunggal sektor awam juga akan dibangunkan sebagai platform sehenti bagi memudahkan urusan rakyat,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hari ini.Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, seramai 2.8 juta orang rakyat Malaysia telah mendaftar dengan MyDigital ID pada suku kedua 2025, meningkat daripada jumlah 1.8 juta pendaftaran yang dicatatkan pada suku pertama lalu.
Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat dengan pengembangan ‘use-case’ (kes penggunaan).‘Use-case’ bermaksud aplikasi atau perkhidmatan tertentu di mana MyDigital ID digunakan sebagai kaedah pengesahan identiti.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata selaras agenda pendigitalan, sistem kehakiman negara termasuk Mahkamah Syariah akan ditambah baik menerusi GovTech.
Beliau berkata antara inisiatif bakal dilaksanakan ialah penambahbaikan terhadap sistem e-Syariah dan kaedah perekodan prosiding.
“(Ini) akan mempermudah dan mempercepat urusan orang awam, pegawai mahkamah termasuk peguam syarie.
“Kerajaan juga melaksanakan akademi kehakiman syariah Malaysia. Jadi, bakat digital akan diperkasa,” katanya.